1. YB Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim telah membuat dua kenyataan iaitu pertama tentang Anugerah Gelaran Dato' oleh DYMM Sultan dan TYT Gabenor dan keduanya pula ialah Ijazah Doktor Falsafah Palsu.
2. Seperti biasa, apabila timbul isu di media, akan ada salah satu daripada dua jawapan lazim dari pihak berkuasa. Pertama ialah, kami akan kaji atau sedang menunggu laporan penuh dan kedua pula ialah menafikannya.
3. Dalam hal ijazah doktor falsafah ini, YB Menteri Pengajian Tinggi dan Timbalannya menafikan ahli akademik di IPTA dan IPTS menggunakan ijazah tersebut. Satu tindakan berani kerana reputasi mereka akan terjejas jika selepas ini ada yang membawa bukti sebaliknya. Doa saya ialah tiada.
4. Untuk mendapatkan ijazah kedoktoran atau doktor falsafah, semua universiti yang diiktiraf mempunyai proses yang hampir sama. Calon mesti mempunyai ijazah Sarjana atau jika hanya ijazah bacelor, mestilah ijazah kelas pertama atau setaraf. Bagi calon luar negara, mereka mestilah memenuhi syarat maustakin atau residence, selalunya setahun. Tesis hanya boleh dikemukakan untuk pemeriksaan selepas beberapa pembentangan. Berdasarkan rekod yang ada, kurang 10% berjaya menyelesaikannya dalam masa kurang daripada 3 tahun. Selepas pemeriksaan lisan atau viva-voce, barulah tesis dikemukakan ke senat untuk diperakukan dan selepas itu calon bolehlah dipanggil Dr.
5. Dalam beberapa majalah seperti Newsweek, ada iklan dari institusi pengajian yang namanyapun meragukan yang menawarkan ijazah kedoktoran berdasarkan hanya menghantar tesis ataupun resume pengalaman kerja. Kadar yuran yang dikenakan amat tinggi iaitu sekurang-kurangnya US$20,000 ataupun RM70,000. Bagi yang ada punca kewangan dan kemaruk untuk digelar Dr, apalah jumlah wang sebanyak itu. Kekadang set golfnya lebih mahal daripada itu. Oleh itu, tiada universiti yang benar-benar universiti berani menganugerahkan ijazah express ataupun istilah sekarang 'touch and go'.
6. Yang menjadi mangsa ialah pelajar. Bayangkanlah jika kita mendapat ijazah darpada Dr express. Walau macam mana cemerlang pelajar itu, kesannya ialah berkurun-kurun. Oleh itu, selain penafian, apakah tindakan berani Yb Menteri dan Timbalan Menteri agar pelajar akan berasa selesa? Di UPM, profesor yang plagiat artikel dari internet hanya akan terjejas peluang kenaikan pangkat. Maksudnya profesor plagiat ini akan terus mengajar dan membimbing pelajar? Adakah tindakan sama juga kepada pensyarah Dr palsu ini? Inilah yang dinantikan selain daripada jawapan lazim iaitu tunggu laporan penuh atau terus menafikannya.
7. Amatlah malang jika dalam usaha kerajaan memartabatkan pendidikan tinggi, perkara pokok ini menjadi polimik. Elok diambil tindakan keras. Janganlah takut untuk membuang dahan pokok yang berpenyakit. Jika berani dibuang akan tumbuh dahan baru yang lebih segar dan semarak.
Sunday, September 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment