Friday, September 25, 2009

Kuasa Pelajar

1. Tidak ada sesuatu yang luar biasa pada individu pelajar. Rupa paras dan perwatakan mereka sama seperti manusia yang sebaya dengan mereka.

2. Akan tetapi, dilaporkan hampir 150,000 akan bergraduat setiap tahun. Sehingga pilihanraya umum akan datang, secara purata, setiap kawasan parlimen akan mempunyai 2,500 orang pengundi baru yang terdiri daripada graduan universiti. Berdasarkan majoriti pilihanraya akan datang, lebih kurang 80% ahli parlimen akan ditentukan oleh pelajar yang belajar di universiti sekarang.

3. Berdasarkan premis ini, adalah tidak logik jika ada parti politik yang tidak berminat dengan pelajar universiti. Semasa perbahasan pindaaan AUKU tahun lepas, tumpuan hanya diberi pada dua seksyen daripada lebih 30 seksyen iaitu seksyen yang mengawal penglibatan pelajar dalam parti politik. Ahli politik seolah-olah tidak berminat langsung dengan governans, tadbir urus dan automoni universiti yang mana iannya lebih penting bagi mencorakkan masa depan pendidikan tinggi negara.

4. Ramai pelajar universiti tidak sedar bahawa mereka mempunyai kuasa yang amat ditakuti oleh semua ahli politik. Tahukah pelajar universiti bahawa usaha untuk menamatkan perang Vietnam bermula dari peristiwa demonstrasi berdarah di Ohio State University? Pernahkah mereka membaca beberapa kerajaan di Thailand tumbang akibat daripada demonstrasi pelajar? Sedarkah pelajar ramai tenaga akademik di universiti Amerika Syarikat yang terpaksa bertukar kerja kerana 'petition' daripada pelajar?

5. Pelajar universiti di Malaysia masih lagi baik. Mereka belum lagi sedar kuasa pelajar yang ada dalam tangan mereka. Mereka tidak akan ke jalanan untuk berdemonstrasi. Mereke sedar demonstrasi bukan budaya di Malaysia. Akan tetapi, janganlah ditutup ruang dan peluang untuk mereka didengari.

6. Pelajar universiti sedar pencapaian akademik sangat utama bagi mereka. Akibat autonomi, mereka sedar pensyarah seolah-olah ada kuasa mutlak menentukan gred kursus mereka. Ramai pelajar kecewa dan tidak puas hati dengan cara pensyarah mengendalikan urusan pembelajaran. Kelas ganti dan ujian dibuat ikut suka pensyarah. Banyak lagi ketidak puasan hati yang terbuku - bendahari yang lambat membayar dan memulangkan potongan, perpustakaan yang dibuka mengikut kesesuaian pustakawan, pegawai pejabat akademik yang memberi arahan datang semula setelah mengisi borang dan beratur panjang dll. Mungkin sekarang pelajar belum memberontak. Tapi yang paling ditakuti mereka protes semasa mengundi waktu pilihanraya nanti.

5. Pepatah Melayu ada mengatakan, air yang tenang jangan sangka tak ada buaya. Memang YB Menteri menerima laporan yang baik-baik belaka dari Naib Canselor. Dalam beberapa ceramah, seorang pegawai akademik di UPM ada menyatakan lebih 90% pelajar tak tahupun siapa Naib Canselor. Bolehkah laporan Naib Canselor ini diterima bulat-bulat?

6. Malang bagi kerajaan jika kuasa pelajar ini hanya disedari selepas pilihanraya umum nanti. Pelajarpun manusia biasa. Toleransi mereka juga ada had.

1 comment:

  1. sy penah rasa tertindas dek kuasa pensyarah.. tiada saluran utk bersuara

    ReplyDelete