Thursday, August 19, 2010

Mahasiswa dan Politik

Tiba-tiba sahaja isu membenarkan mahasiswa terlibat secara aktif dan langsung dalam politik muncul selepas guru siswazah dibenarkan terlibat dengan politik.

Ramai yag teransang dengan isu ini. Yang melatah ialah orang nombor dua dalam Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Mungkin bagi beliau ini adalah kesempatan untuk menjadi popular tanpa berfikir panjang. Selalunya ahli akademik atau profesor tidak akan memberi sebarang ulasan tanpa mengupas dengan teliti tentang isu yang dihadapi kecuali dia adalah profesor kangkong cepat melatah dan merapu.

Guru dan pelajar universiti adalah dua insan yang berbeza. Guru ialah pekerja, dibayar gaji dan tertakluk kepada kontrak pekerjaan (dalam perkara ini ialah perintah am). Pelajar universiti awam pula ialah masih belajar, menikmati subsidi dana pembayar cukai dan tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti. Yang paling jelas lagi ialah kesemua guru siswazah dah berumur lebih 21 tahun (umur menjadi pengundi memilih kerajaan semasa pilihanraya). Saya nak tanya orangnombor dua KPT ini, daripada lebih kurang 300 ribu pelajar universiti awam sekarang, berapa peratus yang berumur 21 tahun atau lebih? Adakah mereka ini majoriti atau minoriti? Dalam kalangan yang julat umur ini, berapa peratuskah yang dah mendaftar sebagai pengundi? Perkara ini adalah asas dan perlu mendapat penjelasan dari orang nombor dua di KPT ini. Saya tak pasti sama ada jika isu ini ditanya di parlimen, beliau boleh terus menjawab atau perlu mendapat input daripad semua Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar yang juga saya percaya tiada data ini. Kalau pejabat orang nombor dua ini minta statistik di atas, ialah adalah main agak-agak sahajalah.

Jika peratusnya kecil, sudah tentulah perkara ini tidak jadi macam guruh petir sehingga kabinet perlu buat keputusan. Dah kabinet buat keputusan, orang nombor dua ini seolah-olah ingkar perintah kerana keluarkan kenyataan seperti dalam Malaysiakini dan Harakah akan bersemuka pula dengan wakil parti pembangkang. Mungkin nak menjaga air muka tetapi katanya bukan sebagai mewakili KPT atau kerajaan tetapi sebagai ahli MT parti. Cerdik juga beliau ini. Pengertian lain bagi bossnya ialah - anda hanya menteri lantikan, apa jawatan anda dalam parti????

Dalam mematangkan pelajar kepada kesedaran politik, seharusnya orang nombor dua ini perlu matang. Adakah dengan membenarkan pelajar menyertai politik secara aktif dan langsung akan menyebabkan pelajar dan universiti akan meningkat dari segi martabatnya? Yang penting bagi pelajar universiti awam, bagi profesor kangkong, ialah kesedaran politik. Inilah peranan besar institusi pengajian tinggi. Sudah berjayakah kesedaran politik ini diterap oleh universiti awam di Malaysia? Kalau sudah berjaya, kenapa hampir semua bakal majikan merungut pelajar yang memohon pekerjaan kurang peka kepada isu semasa dan tidak mempunyai pengetahuan umum yang diperlukan untuk menjawat pekerjaan. Rakan saya yang menemubual bakal guru siswazah merungut kerana siswazah tak tahupun apa makna UMNO, PAS, PKR dan DAP. Apatah lagi kalau tahap kesukaran soalan ditingkatkan sedikit kepada apa matlamat perjuangan parti tersebut.

Jika benar perkara ini berlaku, pelajar akan memilh parti poltik berdasarkan kepada sensasi. Ini sangat bahaya kepada generasi akan datang tetapi mudah bagi bagi parti politik. Merbahaya kepada generasi akan datang kerana sensasi ini macam perasaan cinta. Bila perasaan cinta menular manusia akan menjadi buta. Senang bagi parti politik kerana memancing mahasiswa memerlukan umpan. Sediakanlah umpan yang menarik. Selepas dapat ditangkap sama ada nak simpan dalam akuarium atau disiang untuk dimasak perkara lain.

Jadi, wahai orang nombor dua di KPT, anda menjadi pemimpin cendiakawan Malaysia. Baca dan hayatilah perbezaan pemimpin dengan pengikut, imam dangan makmum dan ketua dengan orang bawahan.

Opp.. maaf saya lupa beliau juga ada boss iaitu Menteri Pengajian Tinggi.